Sumber: http://mukmincapture.blogspot.com/
Percutian yang dirancang sememangnya sesuatu yang menyeronokkan dan menjimatkan. Baru-baru ini saya sempat bersama ahli keluarga dan seorang teman bercuti ke Krabi dan seterusnya ke Phuket sempena cuti Hari Raya Aidil Fitri. Rancangan untuk ke sana dibuat secara spontan yang akhirnya turut disertai oleh kawan kepada biras saya. Berdasarkan pengalaman bermusafir ke sana selama 3 hari 2 malam.
Selepas pulang dari percutian ini, teringin untuk saya kongsikan berkenaan persiapan-persiapan asas yang perlu oleh orang baru yang ingin bercuti ke sana. Mungkin tulisan ini tidak bermanfaat bagi orang yang sudah biasa ke sana, tetapi bagi yang ingin menjejakkan kaki kali pertama ke sana dengan kenderaan sendiri, saya yakin tulisan ini sedikit sebanyak membantu anda.
Gambar yang diambil diwaktu pagi dipantai Ao Nang pada hari ketiga sebelum balik
Tempahan Hotel Melalui Agoda
Bilik Smile Hotel (Ihsan web Smile Hotel)
Langkah pertama untuk memulakan trip ini adalah dengan melayari blog-blog yang menceritakan pengalaman mereka ke Krabi. Sedikit sebanyat catatan tersebut membantu kami terutama dari sudut jalan yang perlu dilalui. Tambahan pula tiada seorang pun dari kalangan kami yang berpengalaman dan tahu selok belok jalan untuk ke sana. Paling jauh hanya setakat hatyai sahaja.
Selepas mendapat maklumat berkenaan Krabi, kami mula mencari hotel yang bersesuaian dengan kadar harga yang berpatutan melalui laman Agoda. Selepas membuat perbandingan, kami memilih untuk menempah Smile Hotel yang berada di kawasan Ao Nang Beach. Harga yang ditawarkan adalam RM55.00 semalam. Kos keseluruhan bagi 4 buah bilik untuk 2 malam adalah sekitar RM 499.00 termasuk cukai perkhidmatan. Apabila kami tiba ternyata kondisi hotel tersebut cukup baik dan sesuai untuk seisi keluarga. Katilnya agak besar dan jauh lebih baik jika dibandingkan dengan hotel bajet di Malaysia.
Penyediaan Dokumen Perjalanan
Pada mulanya kami merancang untuk menggunakan pas lawatan sempadan sahaja (border pass) kerana kosnya yang rendah iaitu RM10.00 bagi sekeping border pass. Namun begitu, selepas disemak dengan rakan-rakan, border pass hanya boleh digunakan lima wilayah di selatan Thai iaitu Songkhla, Satun, Yala, Narathiwat dan Pattani. Wilayah Krabi tidak termasuk di dalam syarat yang diluluskan oleh pihak berkuasa Thailand ini.
Walaupun sebenarnya boleh juga sekiranya kami mahu menggunakan border pass, tetapi memikirkan risiko yang akan ditanggung sekiranya ditahan oleh pihak berkuasa Thailand, kami memutuskan untuk membuat passport antarabangsa bagi ahli trip yang tidak mempunyai passport antarabangsa.
Penyediaan Insurans Kenderaan
Untuk memasuki pintu sempadan Thailand, kita perlu membeli insurans kenderaan Thailand. Untuk membuat insurans, kita perlu membawa sesalinan geran kenderaan yang ingin dibawa.
Insuran kereta ke Thailand
Di kawasan Changlun ada beberapa buah kedai yang menyediakan khidmat penukaran wang ke mata wang Thailand. Selepas dibuat survey dibeberapa buah kedai, penukaran wang direstoran di simpang traffic light bertentangan dengan kompleks C-Mart Changlun antara yang tertinggi berbanding kedai-kedai lain. Sehingga 12 Ogos 2013, sekiranya kita menukar sebanyak RM 100.00, kita akan mendapat duit tukar sebanyak 960 baht dimana kita akan defisit sebanyak RM4.00.
Penukaran wang Ringgit Malaysia ke Baht Thailand
Peralatan Tambahan
Sekiranya kita ke sana, bagi yang belum pernah ke sana diingat supaya dibawa bersama soket elektrik untuk kegunaan mengecas hp atau untuk menggunakan alatan elektrik lain yang dibawa di Malaysia. Ini kerana plug di sana berbeza dengan soket di Malaysia dan memerlukan converter untuk menyesuaikan plug kita dengan soket Thailand. Harga converter ini di pasaraya-pasaraya di Malaysia lebih murah berbanding dibeli di Thailand.
Soket elektrik di Negara Thai
Converter Plug
Selain daripada itu, sekiranya kita memakai hp jenis android, dicadangkan supaya dibawa bersama charger hp didalam kereta bagi mengelak kehabisan bateri.
Mengisi Minyak Kenderaan
Perjalanan yang dilalui oleh kami sepanjang ke Danok- Krabi – Phuket – Krabi – Wang Kelian jaraknya lebih kurang 1050 km. Kami ke sana berkonvoi 3 buah kereta iaitu sebuah Proton Waja 1.6 c.c, Toyota Hilux 2.0 c.c (diesel) dan Toyota Harrier 2.5 c.c.
Jumlah penggunaan minyak bagi proton waja keseleruhan adalah sebanyak RM200 dimana diisi penuh RM120 di Caltex, Changlun dan dibawa simpanan tong sebanyak RM50 dan diisi pula di Thailand sebanyak 500 baht sewaktu pulang dan sewaktu tiba di Wang Kelian kami mengisi pula sebanyak RM30.
Bagi Toyota Hilux penggunaannya minyak sangat menjimatkan. Sepanjang perjalanan biras saya mengisi minyak penuh di BHP Bukit Tangga sebanyak RM 130 dan ianya mencukupi perjalanan pergi balik sejauh 1050 km. Purata penggunaan minyak adalah sekitar 13 sen bagi setiap kilometer.
Manakala bagi Toyota Harrier penggunaan minyak adalah paling tinggi. Secara keseluruhannya rakan saya mengisi minyak keretanya pergi balik sebanyak RM 400.00 termasuk isian penuh di Malaysia dan Thailand.
Untuk perjalanan jauh begini, dicadangkan minyak diisi penuh di stesen minyak berhampiran pintu masuk. Antaranya stesen minyak Caltex, Taman Teja Changlun (Merupakan stesen minyak terakhir yang berada disebelah kiri jalan menghala ke Bukit Kayu Hitam) dan stesen minyak BHP, Bukit Tangga (stesen minyak yang paling hampir dengan pintu sempadan tetapi berada di sebelah kanan iaitu jalan menghala ke Changlun). Ini kerana minyak di Thailand jauh lebih mahal daripada di Malaysia.
Jenis minyak yang dicadangkan adalah Caltex kerana ianya lebih menjimatkan dan mempunyai pick up dan tidak disyorkan untuk mengisi minyak petronas kerana ianya cepat habis dan kurang pick up terutamanya untuk perjalanan jauh.
Tetapi bergantunglah kepada pengguna kerana ada dikalangan pengguna yang memboikot stesen minyak selain petronas. Pemilihan ini dibuat berdasarkan pengalaman menggunakan jenis-jenis minyak ini untuk perjalanan jauh kerana minyak Caltex lebih kilometer dan kuat pick up.
Memilih Pintu Masuk Perjalanan Ke Krabi
Laluan berwarna merah adalah jalan melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam. Manakala jalan berwarna laluan berwarna biru melalui Wang Kelian.
Terdapat 2 jalan utama untuk ke Krabi. Pertamanya melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam atau Padang Besar yang akan melalui jalan Hatyai-Pathalung-Trang dan Krabi. Keduanya melalui pintu masuk Wang Kelian- Cha Lung-Thung Wa-Trang-Krabi.
Bagi perjalanan kali pertama dicadangkan kita melalui kedua-dua jalan tersebut bagi membolehkan kita mengetahui selok belok jalan di Thailand. Sekiranya diberi peluang untuk pergi ke sana buat kali kedua, bagi saya sudah tentu akan memilih jalan melalui pintu masuk Wang Kelian kerana jaraknya yang lebih dekat berbanding jalan melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam.
Untuk keluar melalui pintu Wang Kelian, kita mestilah sampai ke pintu sempadan sebelum jam 6.30 petang walaupun had yang diberikan sehingga jam 7 petang Malaysia ataupun bersamaan dengan jam 5.30 petang Thailand. Sekiranya terlewat kita perlu berpatah balik untuk keluar melalui Bukit Kayu Hitam ataupun Padang Besar ataupun terpaksa menambah hari untuk bermalam di Satun.
Kebiasaannya perjalanan melalui Wang Kelian hanya memakan masa sekitar 4-5 jam manakala melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam sekitar 6-7 jam bergantung kepada kelajuan pemanduan. Kita boleh menjimatkan masa sekurang-kurangnya 2 jam sekiranya masuk melalui pintu Wang Kelian. Perjalanannya pun agak mengujakan kerana melalui kawasan perkampungan Thailand. Dengan khidmat GPS akan lebih memudahkan kita untuk melalui jalan tersebut.
Dokumen Di Pintu Masuk
Visa Ketibaan yang perlu diisi dan boleh didapatkan secara percuma di Pejabat Imigresen Thai
Pejabat Imigresen Thai untuk mendapatkan borang visa ketibaan yang berada disebelah kiri kawasan dalam pagar
Sekiranya kita menggunakan khidmat agen yang berada dimeja berdekatan pejabat tersebut RM2 dikenakan bagi setiap pengisian borang. Sebaiknya ambillah borang sendiri kerana jaraknya meja tersebut dengan pejabat imigresen Thailand hanyalah 5 meter sahaja.
Agen yang menunggu diluar pagar mengenakan caj RM2 sekeping bagi setiap visa ketibaan yang diisi oleh mereka (ihsan sebuah blog kerana terlupa shot gambar tempat agen ni).
Untuk membawa masuk kenderaan kita perlu menyelesaikan urusan mengisi visa ketibaan dan selepas itu barulah boleh menguruskan kebenaran membawa masuk kenderaan ke Thailand. Perlu diingatkan kita perlu membawa sesalinan fotokopi geran kenderaan dan surat kebenaran tuan punya kenderaan sekiranya kereta tersebut bukan hak milik kita. Selepas membuat pendaftaran masuk kenderaan pastikan dokumen yang dikembalikan disimpan untuk digunakan semasa keluar dari sempadan Thailand. Pernah seorang teman didenda lebih daripada seribu ringgit ketika masuk kali kedua ke Thailand kerana terlupa untuk menyerahkan kembali borang kebenaran membawa masuk kenderaan tersebut kepada pihak kastam Thailand ketika kali pertama ke sana. Beringatlah sebelum terkena.
Selepas kita mengecop passport kita, pihak berkuasa Thailand akan mengembalikan sekeping borang yang bertulis “departure” ataupun berlepas pulang ke Malaysia. Borang ini perlu disimpan untuk digunakan ketika mana untuk keluar dari Thailand nanti. Selalunya imigresen Thailand akan meminta RM2 seorang bagi setiap passport yang dicop sebagai tips. Sekiranya kita bijak bernegosiasi, kadang-kadang kita tidak perlu membayar tips tersebut ataupun dikurangkan kepada RM1 sahaja. Ianya bergantung kepada kepandaian kita berbicara dengan pegawai imigresen Thai yang menjaga kaunter tersebut.
Membeli Sim Kad Thailand
Bagi memudahkan perhubungan, sebaik sahaja masuk ke pekan Danok, singgahlah di 7 eleven yang terletak disebelah kiri jalan untuk membeli sim kad Happy Tourist yang ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi DTAC Thailand. Yang menariknya pakej sim kad ini adalah termasuk dengan pakej data.
Pack Sim Kad Happy Tourist. Sim kad ini mempunyai pakej data unlimited untuk kemudahan pelancong ke Thailand
Sekiranya kita membeli sim kad yang berharga 290 baht (lebih kurang RM29), kita akan mendapat kemudahan unlimited internet selama 7 hari dan terdapat didalamnya kredit sebanyak 100 baht (lebih kurang RM10). Ataupun kita boleh membeli sim kad yang berharga 49 baht (Lebih kurang RM4.90) dimana kemudahan unlimited internet yang diberikan adalah selama 24 jam dan tempoh berbual sebanyak 15 baht (lebih kurang RM1.50).
Sekiranya kita membeli sim kad yang berharga 49 Baht ini dicadangkan supaya membeli banyak sim kad untuk membolehkan kita melayari internet setiap hari. Pengalaman saya di sana, saya membeli 3 simkad bagi setiap orang dimana setiap hari kami menukar simkad bagi membolehkan kami melayari internet untuk menggunakan whats app, face book ataupun google maps sebagai pedoman perjalanan di sana. Ini kerana 3 sim kad untuk sehari internet bersamaan dengan 150 baht berbanding harga simkad yang mempunyai kemudahan internet selama 7 hari sebanyak 290 baht. Penjimatkan sebanyak 140 baht.
Sekiranya kita ingin menggunakan talian kita di Malaysia dengan melakukan roaming, elakkan daripada kita melakukan roaming ke atas packet data. Biarlah roaming hanya untuk talian perbualan telefon dan sms sahaja. Ini kerana, ramai yang sudah terkena daripada ribuan ringgit sehingga ratusan ribu ringgit untuk membayar roaming packet data yang digunakan diluar negara.
Sekiranya kita ingin menggunakan talian kita di Malaysia dengan melakukan roaming, elakkan daripada kita melakukan roaming ke atas packet data. Biarlah roaming hanya untuk talian perbualan telefon dan sms sahaja. Ini kerana, ramai yang sudah terkena daripada ribuan ringgit sehingga ratusan ribu ringgit untuk membayar roaming packet data yang digunakan diluar negara.
Mencari Makanan Halal
Untuk mencari makanan halal di Thailand sebenarnya tidak susah. Tetapi perlu perlu meninjau dengan teliti terutamanya di sepanjang perjalanan. Tetapi untuk perjalan pergi dan balik sekiranya berkonvoi, sebaiknya sekira ada bekal ianya lebih baik terutama yang mempunyai anak kecik. Ataupun kita mengambil sarapan pagi yang berat di Changlun atau Danok untuk melapik perut. Elok juga sekiranya dibawa meggi dan roti gardenia untuk kita makan sepanjang perjalanan ataupun disebelah malam di dalam hotel.
Di sepanjang perjalanan dari Bukit Kayu Hitam, selepas melepasi pekan Danok hanya sebuah dua sahaja kedai makan Muslim yang bertanda halal. Sekiranya terlajak, makanan hanya akan di temui di RnR Trang, yang berada di kanan jalan menghala balik.
Kawasan RnR Trang yang berada di sebelah kanan jalan. Awas jangan terlepas!
Bangunan RnR Trang
Oleh kerana emak dan saya tidak makan makanan Thailand kerana tidak lalu, emak dan ayah saya membawa bekal untuk dimakan selama 3 hari. Bekal yang dibawa adalah telur rebus dan sambal kering ikan bilis yang dipelajarinya daripada seorang teman ketika menunaikan haji di Mekah dimana sambal bilis ini mampu bertahan selama sebulan tanpa dipanaskan kembali. Rasanya sedap. Cara membuatnya juga mudah. Selain itu, emak membawa telur dan nasi serta periuk elektrik untuk memasak nasi disana. Oleh itu, tidak ada masalah untuk emak dan ayah makan.
Sambal Ikan Bilis istimewa yang mampu bertahan selama beberapa bulan
Manakala kami pada sebelah pagi bersarapan dengan makanan yang dibawa oleh emak, manakala pada sebelah tengah hari dan malam kami makan diluar sementara emak dan ayah makan bekal yang dibawa.
Sebagai anak, apabila berjalan bersama ibu bapa perkara-perkara begini seharusnya dititik beratkan bagi mengelakkan ibu bapa kita kelaparan. Tambahan pula ibu bapa yang berlatar belakangkan orang kampung yang jarang menikmati makanan Thai yang pedas dan kadang-kadang dimasak oleh tukang masak yang “cemerkap” ataupun memakai pakaian yang tidak menutup aurat. Persediaan ini dibuat selepas ada dikalangan rakan kami yang pergi sebelum ini merungut ibu bapa mereka kelaparan kerana tiada makanan yang sesuai untuk mereka makan kerana tidak sesuai dengan selera mereka.
Antara restoran yang Halal yang terdapat di Ao Nang, Krabi antaranya Hasna, Chaba dan sebuah restoran yang berada di depan restoran Hasna. Namun begitu, sepanjang perjalanan pulang dari Krabi melalui pekan Thung Wa, tidak banyak kedai makan yang ditemui. Selepas terlepas kedai makan di pekan Thung Wa, kami hanya menikmati makan tengah hari di Pekan Cha Lung berdekatan dengan Satun kira-kiran jam 5 petang.
Bagi orang yang baru sampai ke sana seperti kami, diakui agak susah untuk mencari kedai makan halal ketika pergi dan pulang. Tetapi apabila berada di Krabi sudah banyak kedai makan halal di sana. Oleh itu, untuk perjalanan akan datang persiapan boleh dibuat untuk menyediakan bekalan makanan bagi perjalanan pergi dan pulang terutamanya kepada anak-anak kecil atau orang tua yang sudah berumur yang tidak tahan lapar.
Perjalanan Ke Phuket
Dari pekan Ao Nang Beach, terdapat 2 cara untuk ke Phuket. Pertamanya melalui jalan darat sejauh 130 KM dengan anggaran perjalanan selama 2 jam 30 minit ataupun menaiki bot yang disediakan iaitu selama 2 jam.
Sekiranya kita menaiki kenderaan sendiri, perjalanannya agak letih. Namun begitu, sekiranya kita menaiki bot, apabila tiba di Phuket kita terpaksa menyewa kenderaan pula untuk bergerak.. Seeloknya sekiranya mahu ke Phuket dari Ao Nang, perlulah bermalam disana bagi mengelakkan masa terbuang di dalam perjalanan tanpa sempat menikmati aktiviti di sana.
Masjid dan Muassasah Nurul Islamiyyah
Kedai makan di Phuket berhadapan dengan Masjid
Kedai makan di Phuket berhadapan dengan Masjid
Ketam rebus yang dijual di Phuket
Penjaja wanita di Phuket
Di Krabi dan Phuket, kami langsung tidak sempat untuk membeli belah kerana banyak masa dihabiskan di atas kenderaan. Tambahan pula berdasarkan survey yang dibuat, kebanyakkan barang yang dijual lebih tinggi harganya berbanding di Kedah.
Misalnya kami membeli telur ayam 10 biji disebuah kedai kampung dengan harga 450 baht jauh lebih mahal daripada kita. Harga buah tampoi 500 baht berbanding di negara kita RM3.
Aktiviti membeli belah kami lakukan di nat Wang Kelian. Harganya tidak jauh beza dengan harga di Krabi. Ada antaranya yang lebih murah dan mudah untuk tawar menawar kerana penjualnya pandai berbahasa Melayu Pattani.
Selain itu, duit lebihan berbelanja di Thailand juga boleh ditukarkan dengan penjual di Wang Kelian dimana mereka menukar duit dengan kadar sama harga. Sebagai contoh biras saya menukar 8000 baht bersamaan dengan RM800. Jauh lebih menguntungkan berbanding sekiranya ditukar dikedai pengurup wang yang mungkin akan membeli dengan harga yang jauh lebih rendah.
Singgah sebentar di Nat Cha Lung sebelum sampai ke Wang Kelian. Rata-rata peniaga disini mampu bertutur dalam Bahasa Melayu
Selamat Melancong
Inilah Sedikit catatan mungkin boleh dijadikan pedoman untuk teman-teman yang ingin ke Krabi. Bolehlah kita belajar sedikit sebanyak belajar asas Bahasa Thai untuk memudahkan komunikasi di sana seperti perkataan makan, kedai, jalan dan sebagainya yang asas dan mudah. Untuk belajar Bahasa Thai bolehlah diprint untuk dibawa dari laman Diari Anak Timur (Klik)
Untuk tujuan aktiviti, banyak catatan dari rakan-rakan yang lain yang pernah ke sana. Hanya dengan menaip AKTIVITI MENARIK DI KRABI (Klik), kita akan dapat membaca pengalaman pengunjung yang pernah ke sana dengan pelbagai aktiviti menarik. Catatan saya ini lebih dikhususkan berkaitan persediaan teknikal untuk ke sana bagi yang belum pernah menjejakkan kaki ke sana.
- Perkhidmatan Insurans Kenderaan ke Thailand
- Membawa Kereta dan memasuki Thailand
- Pas Sempadan Malaysia - Thailand
- Percutian Ke Ao Nang, Krabi dan Phuket
- Sepetang di Zoo Songkhla, Thailand
- Danok, Thailand adalah Sempadan Bukit Kayu Hitam
- Pengalaman Pertama Masuk Hat Yai Thailand
- Perjalanan Masuk-Keluar dengan kereta Ke Thailand Melalui Bukit Kayu Hitam
info yg berguna..tq
BalasPadam