Isnin, 24 Jun 2013

NISFU SYAABAN

Alhamdulillah, kita masih dipanjangkan umur dan masih diberi segala nikmat untuk meneruskan kehidupan ini. Sedar tidak sedar kita sudah berada pada bulan Syaaban dan bakal menyambut Ramadhan.  Bulan Syaaban ini mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaannya. Terdapat satu malam dalam bulan Syaaban yang dipanggil malam Nisfu Syaaban. Nisfu Syaaban ini jatuhnya pada 15 Syaaban setiap tahun hijrah. Nisf itu sendiri sudah bermaksud separuh iaitu separuh daripada bulan Syaaban.

Malam Nisfu Syaaban, Malam Pengampunan

Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah SWT menilik hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Allah mengampunkan dosa orang-orang mukmin, memanjangkan kesesatan orang kafir dan membiarkan orang yang hasad dengan kedengkian mereka sehingga mereka meninggalkannya."


Diriwayatkan oleh al-Dar Qutni dan Imam Ahmad dengan sanadnya daripada Aisyah RA berkata: "Pada suatu malam, saya kehilangan Rasulullah SAW, maka saya pun keluar mencarinya dan saya menemui Baginda SAW di Baqi' sedang mendongakkan kepalanya ke langit. Maka Baginda SAW bersabda: "Adakah kamu takut Allah dan Rasul-Nya menzalimimu?" Aisyah RA berkata: "Saya berkata, bukan begitu, wahai Rasulullah. Saya cuma menyangka kamu mendatangi isteri-isterimu yang lain."

Baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT melimpahkan rahmat pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya yang lebih banyak daripada bilangan bulu kambing Bani Kilab."

Daripada Abu Darda' RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
 "Pada malam Nisfu Syaaban, Allah SWT memerintahkan para malaikatnya turun ke langit dunia, lalu memerhatikan amalan hamba-hamba-Nya. Maka Allah mengampunkan orang-orang yang meminta keampunan dan menerima taubat orang-orang yang bertaubat kepada-Nya. Dia juga menerima permohonan orang-orang yang meminta dan mencukupkan keperluan orang yang bertawakal."

Perbanyakkanlah amalan pada malam Nisfu Syaaban, rebutlah peluang pada malam yang istimewa ini. Antara amalan yang boleh dilakukan, membawa Yasin, perbanyakkan solat sunat dan mohon keampunan kepada Allah SWT. Semoga kita sama-sama mendapat manfaat daripada artikel ini dan berusaha kearah kebaikan dan meningkatkan amalan kita.

** Tahun 2013 ini, Nisfu Syaaban jatuh pada 24 Jun 2013 (Isnin), bermakna malam Nisfu Syaaban ialah bermula selepas maghrib 23 Jun 2013 (Ahad).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan