Rabu, 13 Februari 2013

Danok, Thailand adalah Sempadan Bukit Kayu Hitam

Membeli belah di Danok Selatan Thailand
SINTOK, 20 Mei (Bernama) -- Ia sebuah pekan kecil yang kurang dikenali ramai di sempadan Malaysia dan Thailand.

Namun sebenarnya ia adalah syurga membeli-belah kerana barang-barang yang dijual boleh dianggap lebih murah daripada yang terdapat di Petaling Street.


Itulah Danok, sebuah pekan kecil di Thailand setelah melepasi Bukit Kayu Hitam di Kedah.

Cakap apa sahaja yang dikehendaki, mahu baju, mahu seluar ataupun mahu beg daripada pelbagai jenama terkenal seperti Louis Vuitton, Coach, Parada semuanya ada di sini.

Harga? Usah dicakap, malah lebih murah berbanding di butik terkenal Kuala Lumpur dan Petaling Street (PS).

Selain daripada pusat membeli-belah, Danok, pekan kecil ala-ala pekan koboi ini juga adalah syurga makanan bagi penggemarnya.

MAI MAKAN PULUT AYAM?

Pulut Ayam sangat popular di Thailand

"Kalau ke Danok, mesti cuba makan pulut ayam," kata seorang kenalan. Sudah tentu, ini akan menarik minat penggemar pulut.

Masakan tidaknya, selalunya masyarakat kita lebih sinonim dengan pulut durian, pulut kuning (itu pun dimakan dengan rendang ayam) dan pulut mangga.

Tetapi, pernahkah kita mendengar ayam goreng dimakan dengan pulut? Pelik bukan, tetapi itulah makanan unik yang rasanya begitu enak sekali dan paling popular di pekan Danok.

"Setiap hujung minggu, saya dan keluarga akan berkunjung ke Danok semata-mata untuk makan pulut ayam. Rasanya sungguh sedap dan tidak terdapat di tempat lain," kata seorang pelancong yang hanya mahu dikenali sebagai Kamarul kepada Bernama.

Memang menarik kerana sepanjang laluan di pekan Danok, dapat dilihat senario wanita genit sibuk menjual pulut ayam hanya dengan bersandarkan sebuah gerai kecil.

Dijual mengikut saiz ayam, paling mahal pun hidangan itu ialah RM6 termasuk pulut.

"Ayam ini digoreng dengan rempah tertentu dan disebabkan itulah warnanya merah. Tetapi, ia tidak pedas dan rasanya bukan seperti ayam goreng mamak.

"Pulutnya tidak sama dengan pulut durian atau mangga. Ini kerana pulutnya keras sikit dan dimakan pula dengan sos seperti keropok tetapi sos pulut ayam ini lagi sedap," kata penjual pulut ayam, Aminah yang enggan berkongsi resepi sos tersebut.

TIDAK SAH KALAU TIDAK MAKAN KEMSOM


Mungkin "kemsom" bukanlah sesuatu yang asing di sini kerana boleh didapati di mana-mana gerai masakan Thai di sini atau malahan di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Namun, ada kebarangkalian masih terdapat segelintir yang tidak tahu apa sebenarnya "kemsom". Ia adalah sejenis gulai persis masakan popular Melaka, asam pedas, namun rasanya lebih pedas, warna kekuningan dan ada rebung.

Dan menariknya "kemsom" di pekan Danok ia menggunakan ikan puyu. Berbanding masyarakat di sini, ikan puyu sama ada dijadikan sebagai ikan pekasam ataupun untuk tujuan perhiasan dan penghalang kuasa jahat (mitos).

Menurut pemandu pelancong Sulai Tour, Anwar, sudah menjadi satu kemestian membawa pelancong yang menggunakan khidmat agensinya untuk merasai nikmat masakan itu.

"Paling popular ialah kemsom yang dimasak menggunakan ikan puyu sebesar ikan tilapia. Selalunya, pelancong pada awalnya tidak lalu makan kerana rupanya yang kurang menarik.

"Tetapi, selepas merasainya mereka terus memuji bahawa isinya sedap dan lembut," katanya yang telah bekerja selama enam tahun dengan Sulai Tour.

Kata Anwar, daging bakar, pulut mangga, pulut durian, tomyam juga adalah antara makanan yang meraih sambutan hangat di kalangan pelancong tatkala berkunjung ke pekan Danok.

JOM CUBA SPA!

Selain dikenali sebagai syurga membeli-belah dan makanan, pekan Danok tidak terkecuali menawarkan tempat untuk wanita yang ingin memanjakan diri sendiri di spa.

"Perkhidmatan yang ditawarkan sangat murah," kata Anwar.

"Ia sangat murah kerana dengan hanya RM70, anda boleh mendapatkan perkhidmatan urut, scrub badan, mandi sauna dan mandi susu. Kalau di Sintok (Kedah), perkhidmatan macam itu saja sudah mencecah ratusan ringgit," katanya.

Bagaimanapun, sesetengah pelancong agak ragu-ragu dengan tawaran sedemikian tambahan pula Danok dikenali sebagai tempat yang menawarkan perkhidmatan 'seks'.

Anwar berkata terdapat beberapa spa yang menawarkan perkhidmatan yang sebenarnya.

"Terdapat dua jenis spa di sini iaitu mereka yang benar-benar menawarkan perkhidmatan seperti urut, scrub badan, mandi sauna, mandi susu, manicure. Satu lagi spa ialah yang menawarkan semua perkhidmatan tersebut dan tambahan perkhidmatan seks.

"Bagi mereka yang ingin cuba, elakkan mencari spa yang dilakukan oleh wanita muda. Cari mereka yang agak berumur, kerana spa begitu tidak menawarkan perkhidmatan seks.

PEKAN DANOK SATU KEMESTIAN

Bagi mereka yang berkunjung ke Sintok, Kedah, mengunjungi pekan Danok adalah satu kemestian.

Ia bagaikan satu perkara yang janggal kedengarannya, jika anda tidak mengunjungi pekan Danok.

Sama ada menggunakan pengangkutan sendiri, mahupun menaiki bas dari Alor Setar ke Changlun dan seterusnya menaiki teksi ke sana, pekan Danok tidak pernah sunyi daripada kedatangan pelancong.

Seorang pelancong dari Melaka, Fatimah Wahab berkata beliau akan berkunjung ke pekan Danok setiap kali melawat anaknya yang belajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah.

"Dari Sintok ke Pekan Danok hanya mengambil masa 15 minit sahaja. Kalau dari Alor Setar pula, mengambil masa 45 minit.Ia adalah satu tempat menarik sebenarnya.

"Lupakan sebentar mengenai kegiatan pelacuran yang ada di sana kerana ia sebenarnya adalah satu pusat yang menawarkan semua benda yang kita inginkan.

"Malah, saya suka datang ke sana kerana dapat melihat pemandangan gajah di atas jalan raya," katanya.

-- BERNAMA

1 ulasan: